Thursday, December 29, 2011

Aku Juga Mampu

0 berkongsi ilmu

Assalamualaikum para pembaca. Sedar tidak sedar dunia semakin tua, masa semakin pantas berlalu. Rambut yang dahulunya hitam sudah kelihatan sedikit keputihan. Kudrat yang dahulunya gagah sudah semakin lemah.
Wajah yang dahulunya jambu sudah menjadi layu. Ini semua bukti kepesatan masa yang tidak mampu sesiapa pun mengawalnya.
Dalam keadaan sebegini kita sebenarnya memerlukan satu dahan untuk berpaut. Berpaut dari terus dihanyutkan arus dunia yang entah membawa kita ke arah mana. Kita perlukan dahan sebegitu teguh dan kuat kerana bukan hanya kita sahaja yang mahu memautnya tetapi juga ayah, ibu, rakan, teman dan semua mereka yang tidak mahu terus tenggelam oleh tsunami masa gila.
Usah terus dipermainkan oleh dunia tetapi kitalah yang harus mempermainkanya. Kata ustaz di masjid kelmarin, hanya jika benar kita faham apa makna dunia, maka tiada langsung niat mengejar kemewahan yang menggila ini akan terlintas.
Tidak terfikir nanti mahu memiliki kereta mewah skyline atau lancer. Tidak terfikir mahu memilik i-phone dan tidak berminat mengejar chikaro cantik berdahi lincin dan berdagu runcing. Ini semua permainan dunia.
Siapa kata tidak mahu bercinta?
Siapa kata tidak cemburu dan jeles melihat kalian berpegang tangan dan berpesta. Itu belum masuk bercumbu cendana di bawah pohon mangga. Cemburu dan jeles. Aku juga punya nafsu, aku juga punya cinta. Adakah kamu percaya?
Aku ada henset yang cukup kreditnya untuk sms setiap masa. Aku punya cukup wang mahu keluar berdating dan menonton wayang juga. Walaupun henset aku murah dan bukan i-phonetetapi aku mampu untuk bergayut berjam-jam bersama yang tercinta. Ya, aku mampu melakukanya seperti apa yang kau lakukan bersama si dia!
Cuma aku tidak mampu untuk menghina agama. Agamaku cantik, bersih, lengkap dan indah. Tuhan aku dan Rasul aku tidak pernah sesekali mengizinkan perhubungan antara bukan mahram sebelum akad terlaksana. Cuma itu sahaja beza upaya kita.
Ini sahaja yang aku tidak mampu melawannya tetapi kau yang terlalu berani membuat langkahan sedemikian rupa. Cuma, aku berjanji dan bersumpah andai sudah terlaksana akad yang penuh makna suatu hari nanti, wanita itu akan menjadi permaisuri paling berharga kerana cintaku tidak pernah ternoda.
Pada Allah S.W.T tempat aku berpaut dan berdoa, semoga terus melindungiku dari tsunami dunia yang menggila. Semoga aku, kau dan mereka terus berpaut pada dahan yang sama

Insan Datang dan Pergi

0 berkongsi ilmu

Assalamualaikum para pembaca. Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya, begitu juga dengan dia.
Ada pula yang datang dan begitu setia dengan kita tetapi kita tidak rasa pun kepentingan dirinya untuk terus bersama kita. Malah kadangkala mungkin kita rasa lebih baik dia tidak wujud daripada dia tidak memberi apa-apa manfaat untuk kita sehinggalah dia pergi buat selama-lamanya.
Ketika itulah baru kita rasa betapa dia sangat penting untuk kita. Pada masa itu, baru kita perasan kebaikan yang dia pernah buat untuk kita atau untuk insan-lain lain di sekeliling kita.
Pada masa itu juga, sudah tidak guna kita menangis kekesalan kerana tidak menghargai kewujudannya. Hanya doa dapat kita hadiahkan agar dirinya dirahmati di alam sana.
Ada pula yang sentiasa di sisi kita. Di saat kita susah dan juga senang. Dia sanggup buat apa sahaja untuk kita. Namun bagi kita, dia tidak lebih daripada tempat untuk meluahkan perasaan, tempat yang kita cari apabila menghadapi masalah tetapi di saat kita bahagia atau berjaya, kita seakan-akan terlupa akan kewujudannya.
Namun dia masih setia. Bila-bila masa sahaja kita cari dia, dia pasti ada untuk kita tetapi kita perlu tahu, dia juga manusia. Mungkin dia pernah makan hati dengan sikap kita. Cuma di hadapan kita, dia mungkin cuba sembunyikan perasaan itu sebaik mungkin.
Seandainya kita masih dungu, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan membawa diri meninggalkan kita. Oleh itu, hargailah kewujudannya selagi mana dia masih di sisi kita.
Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita. Kadangkala kita dapat capai dan genggam tangannya, tetapi belum tentu hati dia, kita dapat selami.
Mungkin kadangkala kita dapat melihat dia ketawa, tetapi kita tidak tahu apa makna disebalik senyumannya. Mungkin dia memang tidak suka berkongsi duka dengan sesiapa atau dia sememangya dia tidak percayakan kita.
Apabila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak disenangi dan mungkin juga secara tidak sedar kitalah sebenarnya yang membuatkan dia menangis. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu sedar, sebenarnya kehadiran kita banyak menyusahkan hidupnya. Kita perlu faham dia mungkin tidak sampai hati untuk memberitahu kita supaya meninggalkannya dan jangan menyusahkan hidupnya.
Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.
Kadangkala kita sendiri tidak sedar yang kita telah menjadi seorang yang sangat baik apabila bersama dengannya tetapi akhirnya, tanpa sebarang sebab, tiba-tiba kita ditinggalkan. Kadangkala kita langsung tidak faham dan tertanya-tanya, kenapa kita ditinggalkan?
Kita rasa kita sudah lakukan yang terbaik untuknya tetapi masih ditinggalkan. Kesannya mungkin sangat mendalam kerana kehadirannya benar-benar bermakna dalam hidup kita. Dalam keadaan ini, kita mungkin akan berubah sepenuhnya. Hati kita cukup terluka sehingga tidak sanggup untuk membuka hati kita untuk kehadiran insan lain.  Kita juga tidak akan mendengar apa sahaja nasihat daripada insan-insan lain di sekeliling kita, hanya masa yang dapat menyembuhkannya.
Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita yang mungkin menjadi penyebab kenapa kita ditinggalkan.
Secara tidak sedar, kita sudah pulih daripada luka lama di atas nasihat dan sokongan darinya. Pada pandangannya, mungkin dia ingat kita sudah boleh berdiri sendiri dan mungkin dia rasa kita dah betul-betul pulih. Lalu dia meninggalkan kita.
Bagi kita pula, selama ini kita harapkannya akan terus bersama dengan kita. Kita hanya kuat apabila dia ada bersama kita, sedangkan dia tidak tahu sebenarnya segala kekuatan dan ketabahan itu ada bersamanya. Apabila dia pergi, maka hilanglah kekuatan itu dan kita terus mencari diri. Terasa sudah tidak percaya lagi kepada sesiapa pun, terasa ingin hidup sendiri, berdikari dan tidak mahu bergantung hidup pada sesiapa pun.
Tanpa kita duga atau tanpa kita harapkan ada pula insan yang sebelum ini pernah meninggalkan kita kembali semula ke pangkuan kita. Namun hati kita sukar kita fahami. Mungkin dengan senang hati kita dapat terima dia semula atau mungkin juga kita tidak dapat terima dia kerana sememangnya kita tidak pernah maafkannya kerana meninggalkan kita.
Dalam hati kita meraung dan bertanya, kenapa baru sekarang, bukan tiga atau empat tahun dahulu?
Mungkin juga hati kita dah tersangat keras atau sudah mati. Hati kita sudah tidak dapat terima dia lagi walaupun kita sudah memaafkannya lama duhulu. Mungkin juga dengan kehadirannya semula membuatkan hati kita yang masih berparut kembali terluka kerana dengan kehadirannya menjadikan kita ingat semula kedukaan lalu yang sebelum ini sudah terpadam dalam memori hidup kita.
Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.
Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya kerana apabila kita ikhlas menghulurkan tangan tidak kira kepada sesiapa pun, pasti akan ada tangan lain yang akan menghulur di saat kita memerlukan biarpun tangan tersebut bukanlah tangan yang pernah kita bantu dahulu.
Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar. Jika kita pernah meninggalkan seseorang atau melukakan hati seseorang, tidak mustahil kita juga akan dilukai dan ditinggalkan suatu hari nanti dan mungkin kita akan dapat yang lebih teruk daripada apa yang pernah kita lakukan pada orang lain.

Mengejar Sempurna

0 berkongsi ilmu

Assalamualaikum para pembaca. Lahirnya kita ke dunia ini bersih, bersih dari dosa, bersih dengan akhlak terpuji, bersih dengan puji-pujian, bersih dengan kasih-sayang, dan bersih dengan reputasi yang mengkagumkan. Kita menangis dengan penuh keberanian, bersuara melalui deria suara dan tangisan air mata.
Dunia kita ketika lahir bagai sebidang kain yang kosong, belum dilukis, dicorak dan diwarnakan. Usia kita makin meningkat dari sehari ke sehari lalu memberi warna pada kain lukisan itu. Tetapi setiap langkah kita ditemani dan dipengaruhi orang-orang sekeliling kita terutamanya ibu bapa kita.
Ibu bapa bagai pelukis latar asal yang mencorak gambaran awal lukisan kehidupan kita. Namun, apabila kita jauh dari ibu bapa, kitalah yang menentukan kehidupan yang kita mahukan. Pesanan dan pengajaran yang baik diselami oleh diri kita ini akan membawa kita untuk memilih jalan yang baik untuk teruskan kehidupan.
Sedar tidak sedar, kita melalui kehidupan dengan mencari kesempurnaan dan kebahagiaan. Kesempurnaan seharusnya boleh diperoleh. Begitu juga dengan kebahagiaan.
Kita mengecapi kesempurnaan dari dua arah yang berbeza iaitu dari arah menambah melakukan kebaikan dan mengurangkan melakukan kesilapan. Arah mana yang lebih mudah adalah terpulang kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, kita perlu usahakan dari kedua-dua arah itu.
Ketika kita meningkat dewasa, kita masih dalam proses pembelajaran yang meluas. Melakukan kesilapan antara cara kita mengenal kehidupan tetapi kita diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka ini adalah arah mengurangkan melakukan kesilapan.
Seolah-olah ketika menjawab soalan peperiksaan. Pada asalnya kita perlu menjawab semua soalan dengan betul, tetapi kesilapan yang mengurangkan markah peperiksaan. Maka perlu bagi kita untuk kurang melakukan kesilapan.
Apatah lagi jika kita pernah menjawab soalan yang sama. Inilah keadaan apabila kita mendekati kematangan dalam kehidupan, rencah kehidupan kita telah kenal maka kita perlu mengelak dari melakukan kesilapan.
Ketika usia kanak-kanak, kita sering dipuji apabila melakukan kebaikan. Begitu juga apabila kita melihat anak-anak kecil yang rajin, kita merasa teruja dan memuji-muji mereka.
Ini kerana, kehidupan kanak-kanak terjurus kepada eksplorasi kehidupan dan lebih jinak kepada permainan. Oleh itu, apabila kebaikan dilakukan, maka kita merasakan sesuatu kelainan lalu hati mudah tersentuh dan mulut mudah memuji.
Bayangkanlah, jika sifat kanak-kanak dan kehidupan kanak-kanak itu diteruskan hingga remaja dan dewasa. Meskipun kita mungkin tidak melakukan kesilapan, tetapi kita tidak lagi dipandang baik dan mendapat tempat dalam masyarakat serta memiliki jiwa yang kosong.
Itulah hakikatnya, apabila usia meningkat, kita perlu menambah amalan kebaikan kerana ia mengisi jiwa yang kosong dengan keyakinan, peribadi yang baik dan memberi kebaikan kepada masyarakat.
Kesempurnaan seharusnya boleh dicari dan boleh dikecapi. "No one perfect" tidak seperti dijangkakan. Malah, ungkapan itu hanya tepat bagi relatif antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kesempurnaan yang kita cari adalah dari definasi dari diri kita sendiri.
Definasi itu pula harus dibimbing oleh ajaran agama Islam yang terpuji. Fitrah manusia menolak sesuatu yang mustahil untuk diusahakan. Maka, jika tiada siapa yang mampu jadi sempurna, kenapa perlu kita usahakan?
Oleh kerana itu, kesempurnaan seharusnya boleh dicapai, maka wajar diusahakan.
Tentulah, setiap kali langkah lukisan kehidupan kita disentak oleh dugaan dan cabaran. Itu perkara biasa. Diri-diri yang mengenali hakikat ini akan mampu tersenyum apabila dugaan itu tiba. Ingatlah, dunia ini cukup luas untuk kita hidup, kerana dengan kelebihan dunia ini kita memiliki sosial dan kekeluargaan.
Berganding tanganlah ketika senang dan susah terutamanya sesama ahli keluarga. Menghadapi dugaan dan cabaran bersama sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan akan memudahkan laluan kehidupan kita. Maka, jagalah perhubungan siratulrahim dan hargai mereka ketika senang dan susah.
Agama Islam juga menganjurkan untuk kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan melarang dari kemungkaran berlaku. Ternyata kehidupan kita dipengaruhi oleh hubungan sesama manusia ini. Apabila difikirkan, kehidupan kita lebih sukar dan mungkin sering kali melakukan kesilapan apabila kita hidup keseorangan di bumi Allah S.W.T ini.
Allah S.W.T memberi kita peluang untuk hidup di muka bumi Allah S.W.T dan ketetapannya adalah ketentuan yang pasti berlaku ketika perjalanan kita menuju kematian.
Maka, kita wajar mencari kesempurnaan dalam kehidupan; menjadi seorang hamba Allah S.W.T yang sempurna, menjadi seorang rakan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan, menjadi seorang anak yang menyempurnakan kehidupan ibu bapa dengan kebahagiaan, menjadi seorang suami atau isteri yang menyempurnakan nafkah serta tanggungjawap, menjadi seorang ayah atau ibu yang mendidik serta membimbing anak ke arah kesempurnaan akidah, akhlak dan ilmu pengetahuan dan menjadi individu yang berguna kepada masyarakat serta berkorban demi agama Allah S.W.T tercinta.
Apabila kita mencapai kesempurnaan yang kita mahukan, ketika itulah kita mencapai kejayaan di dunia. Sempurnakan ia menjadi kejayaan di Akhirat.
Marilah berganding bahu mengejar kesempurnaan bersama-sama. Now everyone can be perfect!

Monday, December 19, 2011

Alhamdulillah

0 berkongsi ilmu
Alhamdulillah, syukur kepadaMu Ya Allah.
Assalamualaikum para pembaca dan bloggers. Hari ni saya nak berkongsi kegembiraan saya dengan korang semua. Pada satu petang, pukul 6.15 petang, 19/12/2011, saya telah dikejutkan oleh ayah dan diajaknya saya berbasikal sekeliling kawasan Perumahan PDRM. Kemudian, satu panggilan telefon untuk ayah dari orang yang saya tak kenal, setelah lama bercakap bersama orang di telefon, ayah datang ke bilik saya. Dia memeluk saya dan memberitahu bahawa dia telah dinaikkan pangkat. Alangkah gembiranya saya mendengar bila dia berkata sedemikian, hanya Allah S.W.T. saja yang tau. Saya pun peluk ayah dengan kuat sambil berkata tahniah kepadanya. Selepas ayah keluar dari bilik saya, saya pun buat sujud syukur. Doa saya selama ini akhirnya dimakbulkan jugak. Alhamdulillah. Mak saya menangis kegembiraan kerana setelah lama kami menunggu, barulah impian menjadi nyata. Setelah 6 tahun di Penang, akhirnya dapat juga berpindah ke tempat lain. ALHAMDULILLAH, SYUKUR KEPADAMU YA ALLAH. 

Sunday, December 18, 2011

15 Ciri Wanita Syurga

0 berkongsi ilmu

Assalamualaikum para pembaca dan bloggers. Apakah ciri wanita syurga? 15 ciri wanita syurga adalah :-
1. Bertakwa.
2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.
3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.
4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.
5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.
6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.
7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.
8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.
9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.
10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.
11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).
13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.
14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.
15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.

Maafkanlah Mereka

0 berkongsi ilmu
Ampunlah mereka sedangkan Allah Maha Pengampun Hamba-hambaNya
Assalamualaikum para pembaca dan bloggers. Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia. Betapa Allah amat memberatkan hamba-Nya menjaga silaturrahim dan ukhwah sesama manusia. Dalam Al-Quran Allah telah berfirman yang bermaksud :
"Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah An Nisaa' 4:1).
Hal ini diperkuatkan lagi dengan sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa yang senang untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah dia menyambung (tali) silaturahim."
Jadi jelas di sini betapa penting untuk kita menjaga ukhwah yang telah terjalin sesama manusia. Kerana menjaga ukhwah itu hakikatnya bukanlah sesuatu perkara yang mudah dilaksanakan.
Begitu jua dalam perhubungan cinta antara seorang lelaki dan wanita. Yang saling menyayangi dan mencintai antara satu sama lain. Namun kadangkala apa yang kita rancang tidak semudah yang kita sangkakan. Dan sering datang cabaran-cabaran yang membuat perhubungan terputus.
Pastinya sekiranya berlaku sedemikan dalam hubungan itu, kadangkala hati kita terlalu sakit dan kecewa atau muncul perasaan benci dengan pasangan kita kerana merasakan diri kita dipermainkan lebih parah jika kita rasa seperti dikhianati.
Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan. Lalu dendam kesumat menjadi jarum hasutan untuk kita memutuskan silaturahim. Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."
Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.
Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.
Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.
Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.
Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."
Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."
Maha Suci Allah, jelas dari kisah sirah ini, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.
Jadi bagi mereka yang sedang berusaha dalam membina satu hubungan yang lebih diredhai; sabar dan tabah lah dalam menghadapi ujian-ujian yang hadir. Seandainya telah berlakunya perpisahan janganlah sesekali kita menyimpan perasaan benci dan marah di dalam hati kita.
Jangan juga kita cuba menyalahkan takdir kerana kegagalan dan perpisahan itu. Tetapi yakinlah dengan janji Allah.. perpisahan itu pasti akan berganti dengan pertemuan.. pertemuan yang lebih baik dari pertemuan yang dulu..

Jangan Terlalu Berharap

0 berkongsi ilmu

Assalamualaikum para pembaca dan bloggers. Hmm, untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?"
Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.
Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.
Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.
Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.
Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapan tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?
Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.
Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.
Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.
Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.
Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.
Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?
Harapan tak tertunai, bahkan iman terungkai-rungkai ikatannya.
"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda."
"Hanya aku seorang yang boleh diharapkan."
Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.
Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?
Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.
Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.
Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.
Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.
Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.
Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.
Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.
Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.
Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.
Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?
Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.
"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan."
Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.
Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.
Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.
Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.
Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.
Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.
Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.
Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.
"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." -Al-Insyirah: 7-8
Wallahua'lam.
 

Ka'bah Night | powered by Blogger | created from Minima retouched by ics - id